
PELAKON Diana Danielle berkongsi perancangan masa depannya untuk tinggal di pusat jagaan warga emas apabila meiniti usia tua kelak.
Kata Diana atau Diana Danielle Beeson, 33, keputusan tersebut dibuat atas alasan tidak mahu menyusahkan anak-anaknya sekiranya dia ditakdirkan uzur.
“Andai kata saya sakit, saya tak nak susahkan anak-anak saya. Saya pun tak mahu mereka risaukan saya.
“Saya ada jumpa rumah perlindungan orang tua yang bagus, jadi saya tak keseorangan apabila tua.
“Dari dulu saya tak suka bergantung kepada sesiapa, sebab itu saya ada perancangan tersebut,” katanya.
Diana berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran di sesi podcast Girl Math Podcast.
Jelasnya, dia yakin kehidupan di pusat jagaan berkenaan bakal memberikannya kehidupan yang tenang tanpa sebarang masalah.
“Saya tak nak peningkan kepala saya dengar masalah anak-anak.
“Saya nak hidup dengan orang-orang yang sebaya dengan saya, saya boleh karaoke, main catur atau berborak dengan mereka,” jelasnya.
Bagaimanapun perancangan tersebut masih dalam pertimbangan memandangkan anak sulungnya, Muhammad, 11, sudah berjanji untuk menjaganya apabila dewasa.
Menurutnya, dia percaya mampu tinggal sebumbung dengan Muhammad memandangkan hubungan mereka rapat ibarat rakan baik.

“Saya pernah berborak secara serius dengan Muhammad, dan beritahu yang saya nak tinggal dengan dia bila dah tua nanti.
“Dan dia janji yang dia akan jaga saya dari segi kewangan dan sebagainya. Kami dah macam kawan baik, dan boleh tinggal sama-sama.
“Saya lihat ada setengah ibu dan anak tiada hubungan yang baik membuatkan mereka susah tinggal bersama,” jelasnya.
Selain Muhammad, Diana turut dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Aurora, 9, hasil perkahwinan bersama pelakon Farid Kamil pada 2012.